Thursday, July 4, 2013

BerTUKAR

Kami sedang menyiapkan laman WEB sendiri... nantikan daripada kami kelak... :)

Saturday, January 5, 2013

Proses Editing #AkuFotoKau

Kami sedang menyiapkan editing #AkuFotoKau. Letak gambar tengok.

Sunday, November 4, 2012

Teater Kecil Ber-JIWA BESAR : Siri 4

Sambungannya....
KESIMPULAN
Walau bagaimanapun, penulisan ini bukanlah mahu menghasut para graduan mengamalkan konsep komersial secara menyeluruh tetapi mengajak mereka supaya mengenal pasti, memahami dan mengaplikasikan mana-mana nilai komersial yang bersesuaian ke sebuah teater kecil yang ingin dilaksanakan. Melaksanakan konsep komersial secara menyeluruh dalam pementasan teater juga semakin merosakkan karya seni yang lazimnya secara halus dan indahnya mendekati khalayak dengan mesej-mesej bijak bersulam plot cerita dan dramatik yang memberi kesan kartasis hebat kepada khalayak penonton. Buktinya apabila konsep komersial berlaku menyeluruh, ianya hanya bersifat keuntungan dan hiburan kosong semata-mata serta kurang memberikan manfaat kesenian yang penuh dengan pesan, maksud, nilai seni dan estetikanya tersendiri. Jika graduan sendiri tidak memperjuangkan atau mengekalkan nilai seni, maka teater itu tidak wajar lagi dipanggil sebagai ‘seni persembahan’ tetapi hanya dipanggil ‘persembahan’ sahaja. Malah, teater yang penuh dengan kolaborasi kesenian itu hanya menjadi alat untuk dikomersialkan bagi menguntungkan perniagaan semata. 
         “Saya lebih tertarik untuk bermain dalam teater kecil setelah beberapa kali melihat persembahannya berbanding pementasan di Istana Budaya, skrip dalam teater kecil lebih menguji lakonan saya…”
       - Remy Ishak
         Pelakon terkenal Malaysia 
Nilai komersial perlu diterapkan ke dalam seni teater tanpa menggugatkan nilai seni yang sedia ada indahnya. Dalam pemilihan naskhah skrip yang ingin dipentaskan, ianya boleh dibawa dengan cerita yang berat dan menyampaikan isu semasa yang dekat dengan khalayak serta mempunyai mesej yang mantap dan berkesan. Namun, perlu sedikit suntikan nilai komersial seperti elemen hiburan bagi menarik minat penonton menyaksikannya. Contohnya, sebuah teater yang kisahnya tentang permasalahan kemiskinan tetapi ianya terdapat unsur humor dan sentuhan satira yang boleh menghiburkan dan menggelikan hati penonton yang meyaksikannya. Sekaligus, penonton dapat berhibur dan bermanfaat serta ianya bakal membuat mereka rasa terpanggil lagi bagi menyaksikan pementasan teater kecil yang mendatang.

Graduan tidak perlu melakukan sesuatu yang mereka tidak ada ataupun tidak mampu seperti bergolok-gadai menyediakan bayaran yang mahal bagi mendapatkan kerjasama artis popular berlakon dalam teater kecil mereka malah menggunakan pengarah terkenal bagi mendapatkan perhatian penonton, mereka hanya perlu mewujudkan sendiri istilah popular terhadap diri mereka sendiri. Maksud perkataan popular ialah digemari atau disukai ramai, diketahui; terkenal, popular adalah sesuatu yang boleh diasuh dan dicipta oleh sesiapa sahaja yang menginginkan dirinya digemari dan disukai malah terkenal dalam kalangan masyarakat. Para graduan boleh menggunakan pelakon dari teman segraduan sendiri untuk berlakon atau mengarah teater kecil tersebut, malah boleh mempopularkan diri mereka bagi menarik minat penonton selepas itu. Contohnya sebagai seorang artis popular, apa yang membuatkan dirinya? Ianya kerana faktor kecantikan, kacak, selalu keluar tv dan filem, selalu keluar majalah, selalu diperkatakan oleh wartawan, berlakon atau menyanyi dengan hebat dan pelbagai lagi. Namun, konsep utamanya adalah ‘memperkenalkan’ individu itu sehinggalah dikenali dan menjadi digemari, disukai malah menjadi terkenal. Sebagai graduan yang bijak pandai dan berdaya kreatif, adakah sukar untuk mempopularkan teman-teman segraduan serta diri mereka sendiri? Dunia makin canggih, teknologi kian berkembang dan memudahkan kehidupan, dengan bajet yang rendah malah percuma graduan boleh menjadikan diri mereka sendiri popular dan hebat. Hanya dengan konsep ‘memperkenalkan’ kemudian bertindaklah dengan sikap yang bakal disukai dan digemari khalayak. Fikirkan ini.
       “Dalam organisasi sebelum ini, saya diajar kunci atau formula kejayaan adalah sikap
     – Azizan Osman
Jurulatih Pemasaran No1 Malaysia

Graduan seni persembahan terkenal dengan sikap yang gagal menjaga pengurusan diri malah pengurusan produksi itu sendiri. Walau bagaimanapun, graduan seni persembahan perlu mengubah sikap ini demi berada dalam kalangan golongan yang hebat dan berjaya. Namun, terdapat cadangan yang baik sekiranya graduan seni persembahan bekerjasama dengan graduan pengurusan bagi mendapatkan satu pasukan yang kemas dan cemerlang bagi melancarkan sebuah produksi teater kecil tersendiri. Ianya adalah satu usaha yang bijak dan saling membuka peluang antara sesama graduan bagi menggerakkan satu ‘perniagaan’ dalam melangkah ke alam kehidupan sebenar. Apabila graduan pengurusan yang memiliki kepakaran tersebut, maka graduan seni persembahan pula menggunakan kepakaran mereka tersendiri dan saling memberi fokus terhadap kepakaran dan agihan tugas masing-masing serta ianya akan menjadi sistematik dan berkesan sebagai sebuah ‘perniagaan’.
Sudah menjadi kebiasaan teater kecil bergerak berdasarkan modal yang kecil malah tanpa modal, hanya berbekalkan kreativiti, semangat dan kecintaan terhadap kesenian teater. Akibat daripada kesukaran mendapat pejana yang sudi, maka graduan menjadi resah memikirkan tentang kos yang kecil bagi menjalankan produksi. Itu tidak mengapa kerana kesan daripada kerendahan bajet terutamanya untuk rekaan pentas, ianya akan membuatkan graduan menjadi lebih kreatif malah boleh menjadikan ia sebuah pementasan dengan visual yang unik dan bernilai seni yang tinggi serta itu juga boleh menarik minat penonton.
 Nadi perkembangan teater kita tidak bertumpu di IB saja kerana ada ramai lagi di luar sana memperjuangkan karya mereka secara bebas dan kecil-kecilan. Tanpa bergantung kepada nama besar dan publisiti mencurah, mereka tetap gigih mementaskan karya di Panggung Bandaraya Kuala Lumpur, auditorium Matic, Stor Teater DBP (Dewan Bahasa & Pustaka) dan beberapa lokasi lain.
 Panggung tidak menjadi isu kepada graduan yang ingin mementaskan sebuah teater kecil, masih terdapat panggung-panggung kecil yang memberi ruang secara percuma atas nama kerjasama bagi menerbitkan teater kecil tersebut. Soal komersial atau tidak komersial sesebuah panggung itu tidak menjadi masalah, kerana apabila panggung itu menjadi pusat kehadiran penonton bagi menyaksikan pementasan teater maka tempat itu menjadi popular dan ianya adalah nilai komersial. Justeru, graduan harus memperbanyakkan persembahan pada panggung yang sama demi mempopularkannya dengan pementasan-pementasan teater kecil yang berkualiti dan menarik.
Pelengkap kepada modal insan yang berjaya dalam bidang kesenian ini, graduan sepatutnya mencari nilai tambah dengan ilmu-ilmu pemasaran dan publisiti bagi memperkemaskan diri mereka dalam menerajui sebuah produksi teater kecil sehingga berjaya. Banyak seminar perniagaan yang dianjurkan di negara kita bagi membantu graduan yang menganggur supaya bangkit memulakan sesuatu pekerjaan sendiri. Contohnya, Klinik Usahawan oleh Azizan Osman, jurulatih pemasaran nombor satu Malaysia, diadakan secara percuma dan mengajar teknik-teknik pemasaran secara meluas. Kadang-kadang kita merasakan peluang itu tidak ada kena-mengena tetapi sebenarnya bila difikirkan semula ianya adalah peluang yang dibuka bagi membuka satu lagi peluang yang sebenar-benarnya. Rebut peluang yang ada bagi mendapat peluang dan ruang yang sebenar kelak. Graduan yang mampu menaikkan taraf kualiti dalam diri dan membawa kejayaan terhadap bidang ‘perniagaan’ kesenian ini secara langsung mengangkat dirinya menjadi usahawan belia yang berwawasan dan berjaya dengan hebat. Pemasaran yang baik juga dapat menarik penonton memenuhi panggung-panggung teater kecil tersebut.
Sekiranya graduan menilai dan memanfaati penulisan ini, mereka sebenarnya telah memulakan sebuah perjalanan ke arah kejayaan dan menjadi seorang graduan seni yang bakal berjaya menembusi industri kesenian negara malah ke luar negara dengan membawa kesenian teater itu sendiri. Namun, sikap acuh tak acuh graduan perlulah diluputkan dan membina sikap bersungguh, bersemangat dan tidak mudah mengalah dengan segala cabaran dan halangan. Justeru itu, sesebuah kejayaan telah dicapai oleh seseorang itu bukanlah dari sikap yang duduk menunggu tanpa berbuat sesuatu, ianya adalah zaman untuk terus berbuat dengan menggunakan apa sahaja yang ada pada diri dan terus berusaha berkembang ke arah lebih baik.




[i] Temubual : December, 2011
[ii] Kamus Dewan Edisi Empat
[iii] Majalah Niaga : Ogos, 2012
[iv] Harian Metro : 2011

Tamat.
P/S : Kami amat berbangga kiranya tulisan ini dikongsikan kepada rakan-rakan yang lain... sila share.. ;)

Membawa Terusan Semangat #BANGKIT


Show projek teater #BANGKIT kedua menggantikan Le Jeu La Julia yg terpaksa ditangguhkan... jom saksikan... 

Revolution Stage mempersembahkan Tepuk Amai-Amai, naskhah kedua dalam projek #Bangkit.

"Tepuk amai-amai belalang kupu-kupu, tepuk biar pandai, nanti emak upah susu"

Teater Eksperimental ‘Tepuk Amai-Amai’ merupakan sebuah devised play oleh Khairunazwan Rodzy. Teater yang bergerak melalui proses device ini adalah berkaitan tentang kehidupan zaman persekolahan yang melibatkan watak-watak seperti Pelajar, Guru, Ibu Bapa dan Keluarga. Plot bergerak berlandaskan watak para pelajar yang berusaha keras untuk menc
apai cita-cita dan impian masing-masing sehingga berjaya. Pelbagai konflik berlaku semasa proses usaha mereka, cabaran, halangan, tekanan serta dugaan telah sebati dalam diri mereka.

"Lenguh menepuk, tak pandai-pandai"

"What do you go to school for?"

Dari pengarah Ratna Kadhal, Tepuk Amai-Amai akan menampilkan:

1. Asyraf Afif
2. Azrul Azizi
3. Rusdalilah Ghani
4. Aznah Mohamed
5. Azlin Nur Mohammad
6. Suhana Othman

Tiket berharga
Dewasa
1. RM20 (utk 1 tiket)
2. RM15 (utk 2 tiket)
3. RM10 (utk 3 tiket ke atas)

Pelajar
1. RM15 (utk 1 tiket)
2. RM10 (utk 2 tiket)
3. RM5 (utk 3 tiket keatas)

*terpakai untuk advance purchase melalui telefon atau email sahaja.

Untuk pembelian awal (advance purchase), sila call nombor dibawah

A.A - 017 98232372
N.A - 010 760 3101

Revolution Stage
@revolutionstage
#LeJeuLaJulia / #Bangkit
FB : Revolution Stage
Emel: stagerevolution@gmail.com
revolution-stage@blogspot.com

Tuesday, October 30, 2012

Teater Kecil Ber-JIWA BESAR : Siri 3

Sambungannya....
OBJEKTIF
Setelah apa yang berlaku pada nasib graduan-graduan seni persembahan di negara kita ini, penulisan ini cuba menyedarkan mereka tentang nilai-nilai komersial yang ada dalam sesebuah teater.
1)      Mengenal pasti unsur atau nilai komersial dalam teater komersial.
2)      Memahami kewujudan unsur atau nilai komersial dalam teater
3)  Membuat kesimpulan tentang usaha teater kecil ke arah mengkomersialkan atau membesarkan ruang dan peluang ke dalam Industri.
KAJIAN
Terdapat beberapa perbandingan yang membezakan nilai komersial yang ada dalam teater komersial dengan teater kecil.
PERKARA
TEATER KOMERSIAL
TEATER KECIL
1)    CERITA/ NASKHAH SKRIP
Cerita yang digunakan adalah ringan dan memfokuskan pada hiburan. Kurang dan kabur mesej yang disampaikan.
Cerita yang dihasilkan adalah lebih berat dalam menyampaikan isu semasa yang dekat dengan khalayak. Mesej yang mantap dan berkesan.
2)      PELAKON
Artis popular, Artis Realiti Tv, Penyanyi Terkenal, Pelakon Anugerah Terbaik. Bayaran mahal.
Pelakon terlatih dan berbakat besar, bersiap sedia untuk memegang pelbagai watak, tidak dikenali, kawan-kawan, murah.
3)      PENGARAH
Pengarah filem, Pengarah teater ternama. Bayaran mahal.
Pengarah terlatih dan berbakat besar, kreatif dengan pelbagai konsep dan ilmu pengarahan, tidak dikenali, kawan-kawan, murah.
4)      PENGURUSAN
Pakar dalam bidang masing-masing, bertugas dengan cemerlang.
Buat sendiri walaupun tidak arif dalam bidang tertentu.
5)      BAJET/ KEWANGAN
Menggunakan bajet yang mewah. Mempunyai penaja yang besar dan banyak.
Zero bajet, bajet rendah, bajet sederhana. Tiada penaja.
6)      TEMPAT/ PANGGUNG
Esklusif, canggih, Istana Budaya.
Stor Teater, taman budaya negeri, ruang terbuka, tepi jalan.
7)      PUBLISITI/ PEMASARAN
Secara berterusan, besar-besaran, meluas, berkos tinggi, menggunakan banyak kaedah pemasaran, menggunakan klik2 dari golongan wartawan, diketahui umum
Secara kecil, Facebook, blog, tampal poster, tidak meluas, tidak ketahui ramai.
8)      PENONTON
Umum. Ramai
Kecil, penggiat seni yang meminati teater, kawan-kawan.
9)      HARGA TIKET
Mahal.
Murah dan sederhana.

Berdasarkan perbandingan di atas, jelas bahawa teater komersial benar-benar menjalankan sebuah perniagaan yang ingin mendapatkan keuntungan besar. Ianya menitik beratkan nilai komersial dalam pelaksanaan sesebuah teater itu, manakala teater kecil pula kelihatan sebuah gerakan ‘bunuh diri’ jika ia dijadikan sebuah perniagaan persembahan.
Naskhah yang diterapkan dalam teater-teater komersial adalah ringan dan berkonsepkan hiburan. Ini kerana cerita yang mudah dan memberikan hiburan akan menarik minat penonton secara umum dari pelbagai latar usia dan taraf  seperti, ibu bapa, remaja, kanak-kanak, menteri, dato dan juga khalayak biasa.
           jika pementasan teater tidak dibintangi oleh 
             nama-nama yang komersial, peminat tidak 
             akan datang untuk menonton.                   
                   - Datuk Mohamed Juhari Shaarani,
                      Ketua Pengarah Istana Budaya.
Pelakon terkenal dan artis popular yang mempunyai nilai komersial adalah salah satu elemen utama menarik penonton merapati ‘box office’ panggung serta berebut mendapatkan tiket bagi menyaksikan artis kegemaran mereka beraksi secara langsung di atas pentas dan di depan mata mereka sendiri. Ini terbukti dengan kata-kata ketua pengarah Istana Budaya yang sedang enak menikmati keuntungan berganda dari kejayaan organisasi dibawah kelolaannya.
Pemilihan pengarah juga menjadi sesuatu yang penting kerana beliaulah yang bakal menerajui dan memimpin sesebuah kejayaan persembahan agar kelihatan gah dan bernilai komersial. Kebiasaanya pengarah filem pecah panggung akan dipilih kerana pengarah ini juga mempunyai pengikut-pengikut filem-filemnya tersendiri. Malah, pengarah ini juga memudahkan urusan ‘pemujukkan’ golongan artis popular agar melibatkan diri dalam pementasan teater tersebut, ini kerana pengarah mempunyai daya tarikan kuat terhadap pelakon yang teringin bekerja dibawah arahannya.
Dari segi pasukan pengurusan dan ahli produksi, kepakaran masing-masing amatlah dititikberatkan agar segala urusan yang melibatkan pengurusan produksi, pengurusan kebajikan, pengurusan pentas, pengurusan publisiti serta pemasaran sehingga ke urusan penjualan. Kecekapan tenaga kerja melaksanakan tugas maka sekaligus memberikan impak yang baik kepada perjalanan produksi dan menyenangkan pementasan teater itu nanti.
Apabila diumumkan kos yang diperuntukkan bagi menjayakan sesebuah teater adalah sangat besar, maka ia mencipta sebuah andaian awal tentang nilai sesebuah pementasan yang bakal diadakan seperti sebuah teater yang gah, menarik, luar biasa dan memuaskan hati, kebiasaannya begitu. Ianya dapat mencipta nilai komersial secara tidak langsung dan mencipta followers awal dari media-media dan khalayak ramai.
Tempat pementasan juga memberi nilai kekaguman serta keyakinan kepada penonton tentang isi pementasan yang bakal mereka tonton. Tambahan lagi jika panggung itu berprestij dan berkeadaan megah dan menjadi tempat tumpuan utama khalayak menonton teater. Panggung juga mempunyai nilai komersialnya tersendiri yang membantu menarik penonton.
Hebahan meluas sehingga tiada seorang pun yang terlepas mengetahui mengenainya adalah sebuah kejayaan yang dimiliki oleh teater komersial. Pemasaran dan publisiti yang berjaya semestinya tidak perlu risaukan lagi tentang semahal mana pun harga tiket kerana kehadiran penonton adalah pasti. Ini kerana penonton sendiri sudah terpukau pada iklan-iklan serta tawaran-tawaran dan nilai-nilai komersial yang ada dan menarik dari pelbagai jenis media secara menyeluruh sehingga membuatkan penonton akan berusaha ke pementasan walau semahal mana pun.
Perbandingan ini jelas memberi peringatan kepada para graduan seuatu perubahan perlu dilakukan jika ingin menceburi industri kesenian negara yang penuh dengan pesaingan dan cabaran. Namun, graduan juga perlu mencari ilmu tambahan mengenai perniagaan bagi memperkukuhkan lagi kedudukan dalam industri kesenian negara.
Bersambung.....
P/S : Kami amat berbangga kiranya tulisan ini dikongsikan kepada rakan-rakan yang lain... sila share.. ;)

Sunday, October 28, 2012

Teater kita sudah koma? - Mingguan Malaysia

Teater adalah sebuah seni persembahan yang dilakonkan di hadapan penonton secara langsung menggunakan kombinasi bahasa uajaran, bahasa tubuh, muzik, tarian dan bunyi.

Di negara kita ini teater moden sebenarnya popular ketika era 70-an dan 80-an. Ini merupakan era-era emas teater moden Malaysia selepas era bangsawan dan sandiwara. Ini adalah zaman kemuncak teater di zaman ini. Selepas itu teater Malaysia sudah mati. Yang mengambil alih tempat teater sekarang ini tidak lebih acara memperagakan artis (bukan pelakon teater).

Hanya beberapa sahaja yang dianggap teater antaranya, Ronggeng Rokiah sebuah teater noir arahan Allahyarham Anuar Nor Arai dan Alang Rentak Seribu arahan Ahmad Yatim.

Kini, pentas yang cukup terkenal dengan permentasan teater antaranya, Auditorium Dewan Bandaraya (DBKL), Pusat Seni Jalan Bandar, Panggung Eksperimental Universiti Malaya, Balai Tun Syed Nasir (Dewan Bahasa Pustaka) dan Dewan Dektar Universiti Kebangsaan Malasysia sunyi tanpa pementasan Teater.

Tidak keterlaluan jika dikatakan kebanyakkan teater yang dipersembahkan masa ini bukanlah teater yang sebenar. Antara faktornya tidak diarah dan dilakonkan oleh aktivis yang bergelumang dalam teater.
Di luar negara, teater Broadway misalnya dijayakan oleh pelakon teater, bukannya pelakon filem seperti kita. pelakon ini telah boleh menguasai dan 'kenal' fungsi pentas. Di barat pelakon teater jadi pelakon filem, tetapi tidak ada pelakon filem jadi pelakon teater kecuali berasal dari teater.

Teater dan filem sebenarnya mempunyai displin yang cukup berbeza. ini kerana teater bukan sekadar berlakon tetapi pengawalan suara, gerak dan kemampuan improvisasi di pentas.

Teater kita mati apabila pelakon filem begitu bebas membuat 'cat walk' di pentas, pelakon teater terus tersingkir. Penonton hanya menonton 'cat walk' bukan lakonan. Bermula dari pengarah sehingga pelakon semuanya adalah dari penggiat filem.

Apa yang terjadi ketika era 70-an dan 80-an dahulu sudah terbalik. Ketika itu banyak pelakon bermula dengan teater kemudiannya melangkah ke filem atau drama televisyen, contohnya Rahim Razali, Khalid Salleh, Eman Manan, Liza Osman, Wan Maimunah, Jalil Hamid dan Ahmad tarmimi Saregar.

Kebanyakkan teater ketika ini menggunakan kaedah menjual pelakon untuk menarik penonton tetapi tidak menjual kualiti lakon. Kerana itu tidak hairanlah pelakon teater sudah tidak ada tempat di pentas. Pihak yang diberikan amanah membangunkan teater tidak berbuat apa-apa dan wajarlah teater kita telah mati.

Ke mana hendak dituju graduan bidang teater apa bila pentas dikuasai oleh artis dari filem? Graduan ini terlatih tetapi tidak terlatih mendapat tempat seterusnya memberikan hasil yang murahan.

Kalau kita menoleh kemeriahan teater tahun 1970-an hingga 1980-an, Kuala Lumpur adalah pusat kegemilangannya. Pelakon teater ketika itu tidak digula-gulakan bayaran ribuan ringgit seperti yang diberikan kepada artis yang berlakon di Istana Budaya. Upah mereka hanya nasi bungkus dan air sirap, tetapi komitmen cukup tinggi.

Di negara ini, kalau hendak jadi kaya, jangan berlakon teater. Aktivis teater relistik keadaan ini. Tetapi bila ada pihak mahu mengubah kedudukan teater, yang teranjak hanya bayaran kepada artis, bukan kualiti teater. Pementasan teater menjadi semakin buruk dan era emas teater moden Malaysia sudah jauh di lipatan sejarah. Kuala Lumpur sudah tidak ada pementasan teater seperti dulu.

P/S : Minum susu tepung seumur hidup, manakan pernah merasai susu lembu asli.... hihihi... ;-)