Sunday, November 4, 2012

Teater Kecil Ber-JIWA BESAR : Siri 4

Sambungannya....
KESIMPULAN
Walau bagaimanapun, penulisan ini bukanlah mahu menghasut para graduan mengamalkan konsep komersial secara menyeluruh tetapi mengajak mereka supaya mengenal pasti, memahami dan mengaplikasikan mana-mana nilai komersial yang bersesuaian ke sebuah teater kecil yang ingin dilaksanakan. Melaksanakan konsep komersial secara menyeluruh dalam pementasan teater juga semakin merosakkan karya seni yang lazimnya secara halus dan indahnya mendekati khalayak dengan mesej-mesej bijak bersulam plot cerita dan dramatik yang memberi kesan kartasis hebat kepada khalayak penonton. Buktinya apabila konsep komersial berlaku menyeluruh, ianya hanya bersifat keuntungan dan hiburan kosong semata-mata serta kurang memberikan manfaat kesenian yang penuh dengan pesan, maksud, nilai seni dan estetikanya tersendiri. Jika graduan sendiri tidak memperjuangkan atau mengekalkan nilai seni, maka teater itu tidak wajar lagi dipanggil sebagai ‘seni persembahan’ tetapi hanya dipanggil ‘persembahan’ sahaja. Malah, teater yang penuh dengan kolaborasi kesenian itu hanya menjadi alat untuk dikomersialkan bagi menguntungkan perniagaan semata. 
         “Saya lebih tertarik untuk bermain dalam teater kecil setelah beberapa kali melihat persembahannya berbanding pementasan di Istana Budaya, skrip dalam teater kecil lebih menguji lakonan saya…”
       - Remy Ishak
         Pelakon terkenal Malaysia 
Nilai komersial perlu diterapkan ke dalam seni teater tanpa menggugatkan nilai seni yang sedia ada indahnya. Dalam pemilihan naskhah skrip yang ingin dipentaskan, ianya boleh dibawa dengan cerita yang berat dan menyampaikan isu semasa yang dekat dengan khalayak serta mempunyai mesej yang mantap dan berkesan. Namun, perlu sedikit suntikan nilai komersial seperti elemen hiburan bagi menarik minat penonton menyaksikannya. Contohnya, sebuah teater yang kisahnya tentang permasalahan kemiskinan tetapi ianya terdapat unsur humor dan sentuhan satira yang boleh menghiburkan dan menggelikan hati penonton yang meyaksikannya. Sekaligus, penonton dapat berhibur dan bermanfaat serta ianya bakal membuat mereka rasa terpanggil lagi bagi menyaksikan pementasan teater kecil yang mendatang.

Graduan tidak perlu melakukan sesuatu yang mereka tidak ada ataupun tidak mampu seperti bergolok-gadai menyediakan bayaran yang mahal bagi mendapatkan kerjasama artis popular berlakon dalam teater kecil mereka malah menggunakan pengarah terkenal bagi mendapatkan perhatian penonton, mereka hanya perlu mewujudkan sendiri istilah popular terhadap diri mereka sendiri. Maksud perkataan popular ialah digemari atau disukai ramai, diketahui; terkenal, popular adalah sesuatu yang boleh diasuh dan dicipta oleh sesiapa sahaja yang menginginkan dirinya digemari dan disukai malah terkenal dalam kalangan masyarakat. Para graduan boleh menggunakan pelakon dari teman segraduan sendiri untuk berlakon atau mengarah teater kecil tersebut, malah boleh mempopularkan diri mereka bagi menarik minat penonton selepas itu. Contohnya sebagai seorang artis popular, apa yang membuatkan dirinya? Ianya kerana faktor kecantikan, kacak, selalu keluar tv dan filem, selalu keluar majalah, selalu diperkatakan oleh wartawan, berlakon atau menyanyi dengan hebat dan pelbagai lagi. Namun, konsep utamanya adalah ‘memperkenalkan’ individu itu sehinggalah dikenali dan menjadi digemari, disukai malah menjadi terkenal. Sebagai graduan yang bijak pandai dan berdaya kreatif, adakah sukar untuk mempopularkan teman-teman segraduan serta diri mereka sendiri? Dunia makin canggih, teknologi kian berkembang dan memudahkan kehidupan, dengan bajet yang rendah malah percuma graduan boleh menjadikan diri mereka sendiri popular dan hebat. Hanya dengan konsep ‘memperkenalkan’ kemudian bertindaklah dengan sikap yang bakal disukai dan digemari khalayak. Fikirkan ini.
       “Dalam organisasi sebelum ini, saya diajar kunci atau formula kejayaan adalah sikap
     – Azizan Osman
Jurulatih Pemasaran No1 Malaysia

Graduan seni persembahan terkenal dengan sikap yang gagal menjaga pengurusan diri malah pengurusan produksi itu sendiri. Walau bagaimanapun, graduan seni persembahan perlu mengubah sikap ini demi berada dalam kalangan golongan yang hebat dan berjaya. Namun, terdapat cadangan yang baik sekiranya graduan seni persembahan bekerjasama dengan graduan pengurusan bagi mendapatkan satu pasukan yang kemas dan cemerlang bagi melancarkan sebuah produksi teater kecil tersendiri. Ianya adalah satu usaha yang bijak dan saling membuka peluang antara sesama graduan bagi menggerakkan satu ‘perniagaan’ dalam melangkah ke alam kehidupan sebenar. Apabila graduan pengurusan yang memiliki kepakaran tersebut, maka graduan seni persembahan pula menggunakan kepakaran mereka tersendiri dan saling memberi fokus terhadap kepakaran dan agihan tugas masing-masing serta ianya akan menjadi sistematik dan berkesan sebagai sebuah ‘perniagaan’.
Sudah menjadi kebiasaan teater kecil bergerak berdasarkan modal yang kecil malah tanpa modal, hanya berbekalkan kreativiti, semangat dan kecintaan terhadap kesenian teater. Akibat daripada kesukaran mendapat pejana yang sudi, maka graduan menjadi resah memikirkan tentang kos yang kecil bagi menjalankan produksi. Itu tidak mengapa kerana kesan daripada kerendahan bajet terutamanya untuk rekaan pentas, ianya akan membuatkan graduan menjadi lebih kreatif malah boleh menjadikan ia sebuah pementasan dengan visual yang unik dan bernilai seni yang tinggi serta itu juga boleh menarik minat penonton.
 Nadi perkembangan teater kita tidak bertumpu di IB saja kerana ada ramai lagi di luar sana memperjuangkan karya mereka secara bebas dan kecil-kecilan. Tanpa bergantung kepada nama besar dan publisiti mencurah, mereka tetap gigih mementaskan karya di Panggung Bandaraya Kuala Lumpur, auditorium Matic, Stor Teater DBP (Dewan Bahasa & Pustaka) dan beberapa lokasi lain.
 Panggung tidak menjadi isu kepada graduan yang ingin mementaskan sebuah teater kecil, masih terdapat panggung-panggung kecil yang memberi ruang secara percuma atas nama kerjasama bagi menerbitkan teater kecil tersebut. Soal komersial atau tidak komersial sesebuah panggung itu tidak menjadi masalah, kerana apabila panggung itu menjadi pusat kehadiran penonton bagi menyaksikan pementasan teater maka tempat itu menjadi popular dan ianya adalah nilai komersial. Justeru, graduan harus memperbanyakkan persembahan pada panggung yang sama demi mempopularkannya dengan pementasan-pementasan teater kecil yang berkualiti dan menarik.
Pelengkap kepada modal insan yang berjaya dalam bidang kesenian ini, graduan sepatutnya mencari nilai tambah dengan ilmu-ilmu pemasaran dan publisiti bagi memperkemaskan diri mereka dalam menerajui sebuah produksi teater kecil sehingga berjaya. Banyak seminar perniagaan yang dianjurkan di negara kita bagi membantu graduan yang menganggur supaya bangkit memulakan sesuatu pekerjaan sendiri. Contohnya, Klinik Usahawan oleh Azizan Osman, jurulatih pemasaran nombor satu Malaysia, diadakan secara percuma dan mengajar teknik-teknik pemasaran secara meluas. Kadang-kadang kita merasakan peluang itu tidak ada kena-mengena tetapi sebenarnya bila difikirkan semula ianya adalah peluang yang dibuka bagi membuka satu lagi peluang yang sebenar-benarnya. Rebut peluang yang ada bagi mendapat peluang dan ruang yang sebenar kelak. Graduan yang mampu menaikkan taraf kualiti dalam diri dan membawa kejayaan terhadap bidang ‘perniagaan’ kesenian ini secara langsung mengangkat dirinya menjadi usahawan belia yang berwawasan dan berjaya dengan hebat. Pemasaran yang baik juga dapat menarik penonton memenuhi panggung-panggung teater kecil tersebut.
Sekiranya graduan menilai dan memanfaati penulisan ini, mereka sebenarnya telah memulakan sebuah perjalanan ke arah kejayaan dan menjadi seorang graduan seni yang bakal berjaya menembusi industri kesenian negara malah ke luar negara dengan membawa kesenian teater itu sendiri. Namun, sikap acuh tak acuh graduan perlulah diluputkan dan membina sikap bersungguh, bersemangat dan tidak mudah mengalah dengan segala cabaran dan halangan. Justeru itu, sesebuah kejayaan telah dicapai oleh seseorang itu bukanlah dari sikap yang duduk menunggu tanpa berbuat sesuatu, ianya adalah zaman untuk terus berbuat dengan menggunakan apa sahaja yang ada pada diri dan terus berusaha berkembang ke arah lebih baik.




[i] Temubual : December, 2011
[ii] Kamus Dewan Edisi Empat
[iii] Majalah Niaga : Ogos, 2012
[iv] Harian Metro : 2011

Tamat.
P/S : Kami amat berbangga kiranya tulisan ini dikongsikan kepada rakan-rakan yang lain... sila share.. ;)

No comments:

Post a Comment