LATAR BELAKANG RS


REVOLUTION STAGE merupakan syarikat yang ditubuhkan pada 2006 pada mulanya oleh Khairunazwan Rodzy, namun kini ianya didaftarkan semula bersama graduan - graduan seni persembahan gabungan dari beberapa institusi pengajian tinggi (IPT) antaranya Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA), Universiti Sains Malaysia (USM), Universiti Malaya (UM), dan Universiti Teknologi Mara (UITM) pada Disember 2006. Atas kesedaran dan kecintaan terhadap seni budaya dan warisan negara, maka Revolution Stage dijadikan platform dan medan anak - anak muda ini melahirkan karya- karya bermutu bukan sahaja untuk kelompok penikmat seni malah kepada khalayak umum. 
Secara tidak langsung, graduan-graduan yang menerajui Revolution Stage telah melibatkan diri ke peringkat yang lebih profesional. Selain itu, Revolution Stage juga turut bersama memeriahkan lagi industri seni tanah air dalam bidang teater.  Dengan pengalaman selama menuntut di IPT masing-masing dan pengalaman yang dikutip daripada produksi-produksi luar, pengurusan syarikat ini mampu diuruskan dengan lebih sistematik dan terkawal.
Penggerak Revolution Stage terdiri daripada anak-anak muda yang mempunyai fokus serta matlamat untuk membawa pemikiran baru yang lebih efektif dan dinamik kepada khalayak umum melalui corak persembahannya. Khalayak dapat menikmati hasil sentuhan kreatif yang mempunyai dimensi baru. Bersesuaian dengan nama ‘revolution’ yang membawa maksud perubahan, membuktikan peneraju syarikat Revolution Stage membawa perubahan daripada takok lama ke era baru yang lebih mencabar.
Revolution Stage juga mendapat kerjasama dengan penggiat seni yang tidak asing lagi dalam bidang persembahan teater iaitu Sahilin Abdan atau lebih dikenali dengan Namron. Beliau selaku penasihat serta pengkritik bagi syarikat Revolution Stage banyak membantu daripada segi kualiti  dan mutu hasil kerja kreatif  Revolution Stage. Dengan kerjasama tersebut, adalah diharapkan syarikat ini akan lebih berkembang pesat seiring dengan kesenian dan warisan negara.
Insyaallah. Mudah-mudahn Allah setuju. Alhamduillah.
Assalamualaikum.